Zahidi (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penduduk terjejas akibat bencana kepala air pada program Bantuan Bakul Makanan Semangat Prihatin Keluarga Kita Keluarga Malaysia di Masjid Jamek Badlishah, di sini, hari ini. FOTO IZAD THAQIF
Zahidi (kiri) menyerahkan sumbangan kepada penduduk terjejas akibat bencana kepala air pada program Bantuan Bakul Makanan Semangat Prihatin Keluarga Kita Keluarga Malaysia di Masjid Jamek Badlishah, di sini, hari ini. FOTO IZAD THAQIF
Izad Thaqif Hassan


Yan: Parti serpihan Umno disaran dibubarkan dan pemimpin serta ahlinya boleh kembali ke pangkuan Umno berikutan Perdana Menteri yang baharu dilantik adalah bersih serta mampu mentadbir negara dengan baik.

Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, buat masa ini beliau berharap tiada masalah politik ditimbulkan mana-mana pihak sehingga mengganggu pentadbiran diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Saya mencadangkan supaya parti serpihan Umno kembali bersatu dan jika boleh bubarkan parti lain dan kita sama-sama bersama Umno untuk bina kerajaan ini.

"Dahulu, ada pihak kata tidak mahu sokong sebab kluster mahkamah dan sebagainya, namun kali ini kita memilih Perdana Menteri dan pemimpin bersih yang diterima rakyat," katanya pada program Bantuan Bakul Makanan Semangat Prihatin, Keluarga Kita Keluarga Malaysia di Masjid Jamek Badlishah, di sini, hari ini.

Zahidi berkata, beliau berharap dalam tempoh terdekat ini semua pihak memberi sokongan dan kerjasama untuk kerajaan menumpukan kepada usaha mencari penyelesaian kepada masalah rakyat.

"Kerajaan baharu ini akan lebih menumpukan kepada penyelesaian ekonomi, Covid-19 dan kebajikan rakyat.

"Jadi kita harap, ahli politik tak timbulkan masalah pasal benda yang lepas kerana kita sekarang sudah ada kerajaan dan Kabinet baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 7:01 PM