GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Melaka: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Stadium Hang Jebat dan Stadium Mini Jasin di sini akan mula beroperasi Isnin ini sekali gus dijangka mampu meningkatkan kadar suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini kepada 22,000 penerima sehari.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, PPV Mega Stadium Hang Jebat mampu memberi vaksinasi sehingga 5,000 penerima sehari manakala PPV Mega Stadium Mini Jasin pula berkapasiti 3,000 suntikan sehari.

"Kita tetapkan di kedua-dua PPV mega ini, tidak buat secara 'walk-in' (secara jumpa terus). Semuanya perlu melalui MySejahtera kerana bimbang tidak dapat mengawal kesesakan orang ramai nanti.

"Bagaimanapun masyarakat jangan bimbang, walaupun tak buat walk-in kita akan pastikan semuanya akan dapat vaksin. Cuma harap dapat bersabar sedikit sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Vaksinasi dan Trauma Penjaja, Peniaga dan Penyewa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata pembukaan PPV Mega Stadium Hang Jebat tidak mengganggu perlawanan bola sepak Liga Super memandangkan pemasangan khemah dan operasi vaksinasi tidak melibatkan padang stadium.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata dengan pembukaan dua PPV mega tersebut kerajaan negeri memutuskan untuk menutup PPV di Tanjung Minyak, Klebang dan Dewan Alamanda di Jasin.

"Hingga semalam, suntikan dos pertama di negeri ini mencapai hampir 80 peratus dan kita cuba habiskan suntikan dos pertama ini pada September dengan kapasiti 22,000 sehari.

"Ada beberapa PPV yang dah tak berapa praktikal untuk dibuka. Jadi petugas di situ boleh bantu di PPV mega bagi membantu kelancaran operasi di PPV mega," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 3:18 PM