PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO AIZUDDIN SAAD
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Umno menegaskan pendirian menyokong pelantikan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan membantu Ismail Sabri bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan.

Beliau turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana berkenan melantik Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera ke jawatan itu.

"Umno mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi dalam pelbagai cabang kerajaan. Ini termasuklah untuk mewujudkan Parlimen lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti.

"Selain itu, campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato' Onn, di sini, malam tadi.

Mesyuarat Khas MKT Umno itu diadakan selepas dua kali ditangguhkan, selain muncul sebagai mesyuarat pertama dihadiri Ismail Sabri sejurus mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan, pada 21 Ogos lalu.

Hadir sama, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ismail Sabri dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid berkata, beberapa panduan utama turut dibincangkan dan dipersetujui bersama Ismail Sabri, antaranya menyahut titah saranan Al-Sultan Abdullah untuk bekerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan baharu perlu segera fokus usaha menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat virus terbabit.

Menurutnya, kerajaan perlu menyantuni kehendak serta tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan, termasuklah penambahbaikan pakej bantuan rakyat, moratorium tanpa faedah terakru dan bantuan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 12:55 AM