BOT dinaiki pemancing yang terbabit dalam kejadian pelanggaran di Selat Dinding malam tadi. FOTO ihsan bomba
BOT dinaiki pemancing yang terbabit dalam kejadian pelanggaran di Selat Dinding malam tadi. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Lelaki dikhuatiri hilang selepas terjatuh di Selat Dinding berhampiran jeti sebuah kilang di sini, apabila bot dinaiki berlanggar dengan sebuah bot lain, malam tadi.

Dalam kejadian pada 8 malam itu, bot dinaiki mangsa, V Subramaniam, 50, bersama isteri dan anak lelakinya dari Kampung Bharu, Sitiawan menuju ke perairan Pulau Pangkor.

Difahamkan, bot dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah bot dinaiki lima pemancing lelaki.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Khairul Azizi Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.25 malam.

Menurutnya, ketika kejadian, bot dinaiki lima lelaki itu terbalik dan mereka semua terjatuh ke laut manakala bot mangsa tidak terbalik tetapi hanya mangsa yang terjatuh.

"Lima pemancing itu kemudiannya diselamatkan nelayan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di sekitar lokasi lelaki itu dilaporkan terjatuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, operasi turut membabitkan anggota BBP Pantai Remis dan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pulau Pangkor selain agensi berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 10:47 AM