LORI membawa muatan minuman keras ditahan untuk siastaan. FOTO ihsan PPM
LORI membawa muatan minuman keras ditahan untuk siastaan. FOTO ihsan PPM
Juwan Riduan


Labuan: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai minuman keras yang cuba diseludup bernilai RM663,000 susulan pemeriksaan ke atas tiga lori di pekan Menumbok, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, lori 10 tan itu ditahan ketika melalui kawasan pemeriksaan di pekan berkenaan.

"Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga lori itu mendapati ia membawa pelbagai minuman keras tidak bercukai disyaki cuba diseludup ke tanah besar Sabah.

"Ia dipercayai bergerak dari Labuan menuju ke Menumbok dengan menaiki feri kenderaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, ketiga-tiga pemandu lori ditahan kesemua barang dirampas, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Saidul berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:10 PM