Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


Kepala Batas: Terpengaruh dengan tawaran kononnya bakal memperoleh keuntungan tinggi berserta pulangan modal, akhirnya memerangkap seorang jurujual wanita dalam sindiket pelaburan tukaran wang asing yang tidak wujud.

Malah, wanita itu yang berasal dari sini, kerugian hampir RM46,000 dan dia membuat laporan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 28 tahun berkenalan dengan seorang individu di Facebook (FB) pada pertengahan Julai lalu sebelum mereka bertukar nombor telefon.

Katanya, suspek kemudian mengajak mangsa untuk menyertai pelaburan Forex yang akan didagangkan sendiri oleh suspek melalui aplikasi Cainvest.

"Mangsa yang percayakan suspek bersetuju dengan tawaran itu selepas dijanjikan keuntungan tinggi berserta pulangan modal.

"Tanpa menyemak terlebih dahulu, mangsa membuat sembilan transaksi pindahan wang berjumlah RM45,979 ke dalam lima akaun bank tempatan yang diberikan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi suspek dan akaun Cainvest yang digunakan untuk melihat aktiviti dagangan tukaran wang asing juga sudah dinyah aktif.

"Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 3:28 PM