Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pulau Pinang memerlukan gelembung pelancongan kepada penggiat industri hotel di Batu Feringghi berikutan pengusaha hotel kawasan pantai itu kehilangan pendapatan mendadak berbanding hotel di bandar.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Raj Kumar berkata, Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan cadangan itu seperti yang diumumkan bagi Langkawi baru-baru ini, bagi industri berkenaan.

Katanya, gelembung pelancongan Langkawi lebih tertumpu kepada tarikan pantai dan keistimewaan itu juga sama seperti hotel yang terdapat di sekitar Batu Feringghi.

"Hotel di Batu Feringghi selalu diketepikan sedangkan Pulau Pinang satu daripada negeri yang menyokong pelancongan dan kita berada di tangga kedua atau ketiga dalam menjana ekonomi kepada negara daripada sektor itu.

"Malah kawasan lapang hotel tepi pantai sekitar Pulau Pinang juga sesuai dengan saranan kerajaan bagi menempatkan orang awam di tempat terbuka sebagai langkah mencegah penularan Covid-19," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Raj ditemui di Hotel The Wembley - A St Giles, Jalan Magazine, di sini, selepas menyampaikan bakul makanan kepada penggiat industri hotel sekitar negeri ini.

Mengulas lanjut, Raj Kumar berkata, pihaknya harap kerajaan baharu akan mempertimbangkan permintaan itu memandangkan hotel di kawasan pantai kehilangan pendapatan yang mendadak akibat pandemik.

 Raj Kumar. FOTO MIKAIL ONG
Raj Kumar. FOTO MIKAIL ONG

Katanya, terdapat tiga kategori hotel di Pulau Pinang iaitu hotel korporat, warisan (heritage) dan hotel pantai.

"Bagi hotel pantai, mereka kehilangan pendapatan berikutan tiada pelancong luar negeri ditambah pula perlu menjaga kemudahan hotel termasuk alam sekitar berhampiran bagi memastikan keunikan hotel itu terpelihara walaupun tiada perniagaan berlangsung.

"Justeru, saya harap kerajaan faham keadaan itu dan memberi ruang bagi Pulau Pinang terutama di bahagian pantai supaya turut sama dalam gelembung pelancongan seperti mana diumumkan buat Langkawi," katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pemegang taruh berhubung perancangan bagi menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 5:41 PM