Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang lelaki ditahan polis bersama 89 peket estrak jus buah-buahan yang dicampur ekstasi bernilai RM187,000 seberat 5.67 kilogram (kg) di hadapan pintu masuk lif tingkat bawah sebuah kondominium di Jalan Medan Ipoh, di sini, Jumaat lalu.

Suspek berusia 20 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang menjalankan Ops Tapis pada sekitar 11.45 malam selepas risikan lebih sebulan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek berasal dari Gua Musang itu dipercayai mengedar dan menjual dadah yang diperoleh dari luar Perak untuk dipasarkan di bandar raya itu.

Menurutnya, sasaran suspek adalah pengunjung pusat hiburan, namun berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka mensasarkan penagih dadah di sekitar bandar raya itu.

Yahaya Hassan menunjukkan hasil rampasan dadah selepas mengadakan sidang media berhubung tangkapan dan rampasan dadah di Bilik Mesyuarat Utama Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Yahaya Hassan menunjukkan hasil rampasan dadah selepas mengadakan sidang media berhubung tangkapan dan rampasan dadah di Bilik Mesyuarat Utama Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

"Hasil pemeriksaan polis menjumpai dan merampas satu bungkusan beg plastik yang mengandungi dua peket plastik warna ungu bertulis 'Versace' dan dua peket plastik warna hijau bertulis 'Kenzo' disyaki berisi serbuk campuran dadah jenis ektasi dalam perisa buah-buahan.

"Susulan dari tangkapan dan rampasan terbabit pasukan polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta Proton Saga yang diletakkan di tempat letak kereta di kawasan kondominium berkenaan.

"Ia membolehkan polis merampas 20 peket plastik bertulis 'Hermes Paris' disyaki berisi serbuk campuran dadah jenis ekstasi dalam minuman perisa buah-buahan yang disimpan dalam kotak di bahagian but kereta terbabit," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama IPD Ipoh, di sini, hari ini

Yahaya berkata, hasil ujian urin, suspek didapati negatif dadah dan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Suspek ditahan reman selama enam hari mulai Sabtu lalu sehingga 26 Ogos (Khamis) ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 4:52 PM