AHMAD Zahid Hamidi. FOTO arkib NSTP
AHMAD Zahid Hamidi. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh menghadiri perbicaraan kes rasuahnya membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas dimasukkan ke hospital kerana sakit belakang.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ahmad Zahid memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa surat daripada pakar hospital menyatakan anak guamnya mengalami kecederaan akibat terjatuh.

"Kami ada surat bertarikh 23 Ogos 2021 yang menjelaskan kepada Yang Arif sebab tertuduh tidak dapat hadir.

"Surat itu juga menyatakan bahawa kerana sakit belakang yang teruk itu, beliau (Ahmad Zahid) tidak boleh duduk lama. Beliau dimasukkan ke hospital swasta di Shah Alam pada Ahad lalu (22 Ogos)," kata peguam itu.

Beliau berkata, Ahmad Zahid dijadualkan menjalani prosedur perubatan pada 8 pagi hari ini.

"Bagi pihak pembelaan, kami sedia untuk meneruskan perbicaraan. Kami tidak mahu dikatakan melengahkan kes ini," katanya.

Mahkamah sepatutnya mendengar penghujahan pada akhir kes pendakwaan hari ini oleh kedua-dua pihak.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan sudah bersedia berhujah hari ini kerana kes itu ditangguhkan beberapa kali.

"Kami menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada kes ini dapat dijalankan secara dalam talian atau diteruskan tanpa kehadiran tertuduh. Perkara itu penting untuk dipertimbangkan, kami tidak mahu mahkamah dilihat menafikan haknya untuk didengar," katanya.

Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan, 12 atas membabitkan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 2:57 PM