Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Saya berasa lega selepas menerima vaksin dan tidak sabar menerima dos kedua," kata ibu tunggal, Mariam Yusof, 78.

Dia menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di rumahnya di Kampung Teluk Pasu, Manir di sini, sekali gus meringankan bebannya yang uzur berikutan menghadapi kencing manis, darah tinggi dan sakit otot untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Selain itu, empat daripada enam anaknya turut menghidapi penyakit sama dengan seorang daripada mereka terpaksa 'membuang' sebelah kaki kerana kencing manis pada 2016.

Menurutnya, dengan keadaannya yang sudah uzur memang tidak berkemampuan untuk pergi sendiri ke PPV.

Katanya, empat anaknya juga uzur dan semua menghidap penyakit kronik termasuk yang sulung, Zaleha Awang, 62, langsung tidak mampu berjalan selepas kaki kirinya dipotong kerana kencing manis pada 2016, manakala anak ketiga, Rozelan, 54, terlantar di katil kerana serangan angin ahmar menyebabkannya lumpuh sejak sembilan bulan lalu.

Mariam berkata, dua lagi anak juga menghidapi penyakit sama iaitu Shani, 50, dan Yusof, 44.

ROZELAN yang terlantar menghidap penyakit strok sejak sembilan bulan lepas ditemani ibunya, Mariam Yusof, 78 (kiri) semasa menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19. FOTO Ghazali Kori
ROZELAN yang terlantar menghidap penyakit strok sejak sembilan bulan lepas ditemani ibunya, Mariam Yusof, 78 (kiri) semasa menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19. FOTO Ghazali Kori

"Saya yang bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan mengakui berada dalam keadaan bimbang selagi dia dan anak tidak mengambil vaksin.

"Kami sekeluarga hanya berada di dalam rumah berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, namun dalam masa sama saya bimbang dijangkiti wabak berkenaan daripada orang ramai yang datang ke rumah," kata ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin menerusi Program Vaksin Mobil UniSZA, hari ini.

Menurutnya, dia bersyukur kerana selain dia yang menerima bantuan JKM, dua lagi anaknya iaitu Zaleha dan Rozelan turut menerima bantuan berkenaan sebanyak RM200 sebulan selain Faedah Pencen Ilat Perkeso.

"Dengan duit bantuan inilah kami sekeluarga berbelanja dan membeli barangan dapur.

"Jika sebelum ini, Rozelan yang menyara kami dengan hasil pendapatan bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi selepas dia lumpuh, perbelanjaan kami sepenuhnya bergantung pada bantuan JKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 2:42 PM