Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bertanggungjawab dalam urusan membawa pulang pesakit Covid-19 yang sudah sembuh dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) ke rumah masing-masing.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, proses membawa balik pesakit ke rumah mereka adalah inisiatif beberapa PKRC di Kelantan hasil kerjasama beberapa agensi seperti Pejabat Majlis Daerah.

Katanya, tindakan berkenaan adalah satu tanggungjawab sosial yang dilakukan bagi membantu sesetengah pesakit untuk pulang selepas menerima rawatan dan diingatkan ia bukan kewajipan pihak KKM.

"Pihak kami turut menyiasat berkaitan video viral yang dimuat naik bekas pesakit di salah sebuah PKRC sebelum ini dan melihat aspek komunikasi perlu diperkemaskan agar tiada lagi berlaku salah faham.

"Pesakit yang sudah dibenarkan pulang daripada PKRC sudah bebas daripada wabak, jadi tiada masalah untuk mereka pulang termasuk jika menggunakan perkhidmatan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing

"Masyarakat perlu faham kerana kita sedang berhadapan dengan ribuan pesakit. Kita semua mengharapkan keselesaan tetapi dalam masa sama perlu menangani ramai lagi pesakit selain bilangan staf dan kakitangan kesihatan yang terhad," katanya ketika ditemui selepas melawat PKRC Gelanggan Seni, di sini, hari ini.

DR Zaini memantau pesakit yang ditempatkan di PKRC  di Gelanggang Seni. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
DR Zaini memantau pesakit yang ditempatkan di PKRC di Gelanggang Seni. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Sebelum ini, viral di media sosial video menunjukkan seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan layanan pihak KKM semasa keberadaannya di sebuah PKRC di Kelantan.

Dr Zaini berkata, pihaknya terpaksa mengubah suai tindakan kerja selain berhadapan dengan mobilisasi petugas kesihatan yang dihantar ke negeri luar susulan peningkatan kes Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu memastikan agar kakitangannya tidak menjadi mangsa dalam menangani kes penyakit berjangkit itu, memandangkan jumlah mereka juga terhad.

"Selain itu, tindakan bersama diperlukan dalam menangani penularan wabak Covid-19, tambahan pula, catatan kes di Kelantan masih lagi empat angka sekali gus merisaukan semua pihak.

"Rakyat Kelantan masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun sudah diberi kelonggaran terutama kepada mereka yang menerima dua dos vaksinasi kerana kita masih belum 'menang' menghadapi Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 2:38 PM