PENGURUS butik pakaian, Hazam Harun (kiri) melihat sijil digital vaksinasi Covid-19 yang ditunjukkan pelanggan, Kamesih Kadis mengikut SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)di pusat beli belah di Kuala Lumpur, kelmarin. Bagi kedai pakaian, terdapat SOP kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi iaitu memakai sarung tangan, mengehadkan masa urusan di antara pekerja dan pelanggan, serta tidak membenarkan penggunaan ‘fitting room.’ FOTO Bernama

Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Hanya vaksinasi dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) secara berterusan 'penawar' mujarab mengatasi kenaikan kadar jangkitan Covid-19 dalam komuniti.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, kelonggaran pergerakan dan kelalaian mematuhi SOP antara penyumbang utama trend peningkatan terutama negeri diisytihar fasa dua.

"Apabila kelonggaran diberikan, masyarakat mula bergerak sana sini, wujudlah aktiviti kunjung mengunjung dan melepak tetapi gagal patuhi SOP. Inilah punca dan kesannya (kenaikan kes).

"Tetapi dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang semakin diperluaskan, saya jangkakan jumlah kes akan menurun di kawasan itu dalam tempoh sebulan.

"Ini terbukti dengan penurunan kes yang drastik di Lembah Klang terutama Kuala Lumpur yang sudah mencapai lebih 80 peratus kadar vaksinasi," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas trend lonjakan kes di negeri fasa dua terutama Pantai Timur misalnya Kelantan yang mencatatkan empat angka kes harian dengan lapan kes kadar kematian sehari dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar meminta orang ramai membudayakan pematuhan SOP secara berterusan walaupun sudah menerima suntikan vaksin masing-masing berikutan kes varian baharu yang mengganas semakin membimbangkan.

"Kes Covid-19 dari varian asal memang sudah banyak dalam komuniti dan kini semakin mencabar dengan muncul pula varian baharu seperti Delta dan lain-lain yang menyebabkan mereka yang divaksin pun boleh dijangkiti.

"Justeru, amat penting dapatkan suntikan vaksin. Pengambilan vaksin memang tidak boleh dipaksa tetapi jangan keluar rumah atau marah jika tidak dapat ke tempat awam misalnya surau dan 'supermarket' (pasar raya).

"Bagi mereka yang divaksin pula, jangan lalai teruskan pematuhan SOP dan elakkan ke tempat sesak serta keluar hanya mengikut keperluan saja. Itu saja ubatnya (kurangkan kes)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 12:46 PM