Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Persatuan Hokkien Klang ditutup berikutan kadar vaksinasi di Lembah Klang sudah menghampiri sasaran yang ditetapkan kerajaan serta Kementerian Kesihatan (KKM). FOTO FAIZ ANUAR
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Persatuan Hokkien Klang ditutup berikutan kadar vaksinasi di Lembah Klang sudah menghampiri sasaran yang ditetapkan kerajaan serta Kementerian Kesihatan (KKM). FOTO FAIZ ANUAR
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia akan mencapai imuniti kelompok lebih cepat berbanding sasaran akhir tahun ini.

Pencapaian itu dapat dilihat dengan jumlah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima semakin berkurangan iaitu kira-kira satu dan dua peratus daripada keseluruhan kes harian yang dilaporkan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, keyakinan itu juga berdasarkan prestasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang mampu mencapai lebih 400,000 pemberian vaksin sehari.

"Bagaimanapun, ini juga bergantung kepada bekalan vaksin dalam tempoh masa ditentukan dan liputan menyeluruh ke semua negeri.

"Ada aduan dari negeri tertentu bahawa bekalan vaksin tidak mencukupi atau lambat berbanding permintaan dan prestasi PPV berkenaan," katanya kepada Harian Metro.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas semalam memaklumkan sebanyak 6 juta dos vaksin tambahan akan diterima menjelang awal September ini.

Setakat semalam, sebanyak 55.6 peratus atau 13,022,246 populasi dewasa di negara ini lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan setakat semalam juga, 18,258,947 individu menerima dos pertama menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi PICK kini sebanyak 31,281,193 dos.

Malaysia antara negara yang merekodkan kadar vaksinasi terpantas di dunia dan Lembah Klang menunjukkan pencapaian memberansangkan apabila mencatatkan kadar vaksinasi hampir 80 peratus daripada populasi dewasa, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Zainal Ariffin berkata, meskipun kadar vaksinasi mencatatkan jumlah yang tinggi namun masih ramai yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera belum mendapat janji temu penerimaan vaksin.

Menurutnya, Malaysia perlu mengambil langkah lebih pantas bagi menangani penularan varian Delta yang semakin mengganas dan kemunculan varian baharu sejak kebelakangan ini.

"Kita perlu pastikan penduduk divaksinasi secepat mungkin. Vaksin satu-satunya perisai untuk kita kurangkan impak penularan," katanya.

Selain itu, katanya, pemberian vaksin juga perlu diperluaskan kepada golongan remaja berusia 12 tahun ke atas bagi mengawal penularan dan melindungi golongan terbabit.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan untuk memperluaskan PICK dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 3:20 PM