Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama kepimpinan tertinggi parti pembangkang, gambar fail. FOTO Bernama
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama kepimpinan tertinggi parti pembangkang, gambar fail. FOTO Bernama
Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tawaran kerajaan kepada pembangkang untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 (JKMC) pastinya akan diteliti secara menyeluruh sama ada penyertaan memberikan kuasa penuh dan bebas dengan keputusan konsensus.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, penyertaan itu bukannya sekadar penyertaan biasa tanpa kuasa membuat keputusan.

"Skop dan tahap pembabitan pembangkang penting untuk diteliti supaya mereka tidak terperangkap dan disalahkan sekiranya kegagalan berlaku.

"Ini menyebabkan populariti pembangkang terjejas dan berlakunya defisit kepercayaan rakyat terhadap pembangkang yang sepatutnya ditanggung oleh kerajaan pemerintah," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sememangnya atas kertas tawaran rentas parti itu dilihat mampu memulihkan semula negara dalam mendepani krisis kesihatan dan ekonomi dengan mengenepikan perbezaan politik yang jarang berlaku dalam arena politik Malaysia.

"Namun pembangkang dilihat akan mengambil langkah berhati-hati sebelum membuat keputusan yang memberi risiko besar kepada sokongan penyokong mereka sekiranya gagal dan terpaksa tanggung akibat politik masa depan mereka sendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, tawaran dengan memberi ruang kepada pembangkang seharusnya sudah lama dilakukan kerajaan terdahulu.

"Apabila Covid-19 melanda negara, kita mengalami masalah kestabilan politik kerana kerajaan ketika itu tidak mempunyai majoriti selesa.

"Kita berada dalam situasi perang sangat besar (pandemik) dan juga sudah tiba masanya politik baru dilaksanakan iaitu tidak lagi berasaskan permusuhan, perpecahan yang melampau sebaliknya bersaing secara sihat," katanya.

Dr Muhamad Nadzri berkata, bersaing secara matang, menghormati lawan dan bekerjasama serta saling melengkapi antara semua parti politik sebagai sebahagian daripada satu sistem pastinya menguntungkan rakyat.

"Apabila kita tidak tersusun, bergaduh sesama sendiri, pastinya fokus kita terganggu dan usaha melawan pandemik juga menjadi separuh masak kerana tiada sokongan menyeluruh.

"Jemputan ini saya anggap menarik, dengan kerjasama ini pembangkang akan memberikan kestabilan kepada kerajaan dengan membantu dan menyokong usaha mereka sekali gus menstabilkan kedudukan kerajaan di Parlimen," katanya.

Semalam menerusi ucapan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan JKMC.

Tawaran itu dibuat secara terbuka menerusi ucapannya sebagai Perdana Menteri Ke-9 yang disiarkan secara langsung pada 5.30 petang.

"Bersama dengan kerajaan ini saya akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

"Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan," kata Ismail Sabri dipetik dalam ucapan itu.

Untuk tujuan itu Ismail Sabri berkata, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan dan itu termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 3:15 PM