ANGGOTA tentera memasang kawad berduri di kawasan dikenakan PKPD. FOTO Sharul Hafiz Zam.
ANGGOTA tentera memasang kawad berduri di kawasan dikenakan PKPD. FOTO Sharul Hafiz Zam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lima lokaliti di Sabah dan Kelantan akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Selasa hingga 6 September.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, pelaksanaan PKPD itu berdasarkan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19.

"PKPD di Sabah membabitkan dua kawasan di Kampung Buanog Matunggong, Kudat dan Kampung Balung Cocos, Tawau.

"Di Kelantan pula, tiga lokaliti dalam daerah Tumpat iaitu Kampung Telaga Bata dan Kampung Kajang Sebidang, Mukim Jal Besar serta Kampung Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bahru," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rodzi berkata, dua lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dan Taman Semarak Indah yang dikenakan PKPD sehingga esok pula dilanjutkan bermula Selasa sehingga 6 September nanti.

"PKPD di empat lokaliti di Sabah iaitu Blok 11 Kampung Titingan, Tawau; Kampung Rawa-Rawa Batu 4, Tawau; Perumahan Ladang Kapir, Benta Wawasan, Kalabakan dan Perumahan Ladang Serudung, Usahawan Borneo, Kalabakan yang bermula sejak 10 Ogos lalu akan ditamatkan esok mengikut jadual.

"Selain itu, PKPD di dua lagi lokaliti di Kampung Bukit Malut, Langkawi, Kedah dan Desa Keluarga YPK Chendering, Kuala Terengganu yang turut bermula sejak 10 Ogos lalu akan ditamatkan esok mengikut jadual.

"Sementara itu, PKPD di Kampung Bongkok, Bera, Pahang yang bermula sejak 14 Ogos lalu ditamatkan hari ini iaitu lebih awal dari dijadualkan pada 27 Ogos nanti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 6:55 PM