GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, pelbagai taktik digunakan oleh pelbagai pihak tidak bertanggungjawab termasuk penipuan dengan mensasarkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada 13 Ogos lalu mengenai penipuan tawaran pekerjaan sambilan di Facebook (FB).

Menurutnya, mangsa adalah seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dan lepasan SPM yang masih belum bekerja.

"Mangsa beritahu melihat iklan pekerjaan di FB dan kemudiannya berurusan melalui WhatsApp untuk kerja sambilan membungkus batu jed.

"Dia dimaklumkan dengan pembayaran pendaftaran sebanyak RM350 kemudiannya akan dibekalkan dengan tujuh beg (setiap beg mengandungi 5000 biji) batu jed yang perlu dibungkus dalam masa 45 hari dengan dijanjikan bayaran sebanyak RM5,000," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas pembayaran pendaftaran dilakukan, mangsa masih gagal menerima barang untuk dibungkus itu dan terus diminta untuk masukkan lagi wang yang dikatakan untuk tujuan pembayaran kepada ejen.

"Mangsa yang teruja terus membuat bayaran seperti diminta sebanyak lima kali transaksi bermula 14 Julai hingga 13 Ogos lalu ke dua akaun bank tempatan dengan jumlah keseluruhan RM5,350 menggunakan wang daripada ibunya.

"Selepas kesemua pembayaran itu, mangsa tetap gagal mendapat barang yang dijanjikan dan masih diminta untuk masukkan lagi wang sekali gus menyebabkan mangsa mula berasa tertipu," ujarnya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta didenda jika sabit kesalahan.

"Pihak polis menegaskan agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dengan gaji tinggi terutamanya daripada laman sosial yang tidak pasti kesahihannya.

"Orang ramai perlu membuat semakan nombor http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi serta membuat semakan latar belakang syarikat atau majikan sebelum memohon pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 4:58 PM