GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuching: Sarawak sedang memuktamadkan persediaan bagi melaksanakan proses pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun dalam usaha mengekang jangkitan Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) berkata, pelaksanaannya akan diumumkan apabila semua persiapan selesai.

Selain itu, beliau turut meminta segelintir rakyat Sarawak yang menolak atau enggan menerima suntikan vaksin agar segera mendapatkan suntikan vaksin mereka.

"Kita masih membuka pusat pemberian vaksin di seluruh negeri, mereka yang terbabit boleh menghubungi pejabat jawatankuasa bencana kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, selagi mereka yang berkenaan berkeras enggan divaksinasi, mereka bukan saja membahayakan diri sendiri malah orang di sekeliling mereka juga.

"Lebih-lebih lagi ketika ini kita mengalami peningkatan kes positif serta kehadiran varian Delta yang lebih cepat berjangkit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 7:13 PM