SHAHIR. FOTO Arkib NSTP
SHAHIR. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, disaran untuk memperkasa peranan Parlimen dalam mentadbir negara, kata veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad.

Katanya, ia membolehkan semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik dibabitkan secara langsung dalam pengurusan negara.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, kegagalan pentadbiran sebelum ini menjadikan Parlimen sebagai landasan utama mendapatkan sokongan, mandat dan kebersamaan dalam mengurus negara yang berada dalam kancah wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi, perlu menjadi pengajaran buat Perdana Menteri Ke-9 dan bakal ahli Kabinetnya nanti.

"Peranan Parlimen adalah amat penting bagi memastikan semua pandangan serta cadangan semua Ahli Parlimen diambil kira apatah lagi itulah sebenarnya punca kuasa kepada Perdana Menteri.

"Malah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut memberikan nasihat sama apabila meminta semua pihak tanpa mengira parti politik perlu dibabitkan bagi membantu rakyat dan negara keluar daripada wabak Covid-19," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shahrir berkata, dalam kerajaan demokrasi berparlimen, adalah sangat penting memastikan 'engagement' dengan semua ahli Parlimen dalam mendapatkan mandat dan sokongan terutamanya membabitkan dasar penting negara.

Menurutnya, apatah lagi negara berhadapan cabaran getir yang tidak pernah dihadapi iaitu wabak Covid-19 yang bukan sahaja menjejaskan kehidupan rakyat malah ekonomi negara turut terkesan teruk.

"Bagi saya Perdana Menteri Ke-9 harus memperbaiki kesilapan pentadbiran sebelum ini yang tidak menggunakan Parlimen sebagai landasan utama mentadbir negara dan membabitkan penyertaan semua ahli Parlimen dalam membuat dasar utama untuk rakyat.

"Di Parlimen bukan sahaja membabitkan sesi soal jawab atau perbahasan ahli dewan malah terdapat juga pelbagai jawatankuasa yang dianggotai ahli Parlimen merentas parti politik yang boleh digerakkan memberi saranan, membuat siasatan dan juga mengkaji apa jua isu negara," katanya.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dilaporkan berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Ke-9.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dilaporkan berkata, pelantikan itu selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, Shahir berkata, Perdana Menteri Ke-9 juga tidak boleh menolak Parlimen sebagai asas pentadbiran jika mahu ahli Parlimen terus memberi mandat dan menyokongnya.

"Jangan tolak Parlimen. Jangan ego, sehingga mewujudkan tekanan pada pentadbiran selain tidak memberi peluang pada ahli Parlimen berkongsi pandangan dan saranan.

"Teliti dan dengarilah setiap pandangan dan saranan yang dikemukakan tidak kiranya menerusi perbahasan atau jawatankuasa Parlimen yang ditubuhkan. Lebih konsultatif serta sanggup mendengar apa yang diutarakan Parlimen.

"Inilah perbezaan identiti yang dapat membezakan kepimpinan Perdana Menteri Ke-9 dengan pentadbiran sebelum ini sekali gus memperbaiki kegagalan yang dilakukan sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 7:43 PM