Gambar hiasan
Gambar hiasan
Melvin Joni


Kuching: Pesara lelaki dan suri rumah masing-masing mengalami kerugian puluhan ribu ringgit selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, kes pertama membabitkan pesara lelaki itu yang mengalami kerugian RM39,000.

Katanya, ketika mangsa berada di rumahnya di Jalan Penrissen, Siburan pada 9.15 pagi Rabu lalu, dia dihubungi suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Lee dari Bahagian Polis Mahkamah mengatakan anaknya ditahan kerana terbabit dalam kes dadah.

"Bagi melepaskan anaknya dan menyelesaikan kes itu, mangsa diarahkan membuat bayaran wang tunai sejumlah RM30,000 ke satu akaun bank atas nama sebuah syarikat. Mangsa juga diminta membayar RM9,000 ke akaun sama sebelum diarah memusnahkan resit bukti bayaran sementara menunggu anaknya dibebaskan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jaw Shyong berkata, selepas membuat pembayaran, mangsa menghubungi anaknya untuk bertanya keadaannya dan menyedari dirinya ditipu sebelum tampil ke balai polis membuat laporan.

Dalam kes kedua pula, katanya, seorang suri rumah membuat laporan polis mengalami kerugian sebanyak RM66,000.

Menurutnya, ketika berada di rumah di Daerah Padawan kira-kira jam 8.45 pagi, 8 Ogos lalu, wanita itu menerima panggilan telefon dari suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Katanya, mangsa kemudian diarahkan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur kerana dikatakan terbabit dalam kes judi dalam talian.

"Menurut mangsa, suspek dalam panggilan telefon menemu ramahnya sehingga berjaya mendapatkan 16 digit nombor kad ATM mangsa.

"Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pindahan semua wang mangsa ke satu akaun bank berjumlah RM66,000," katanya.

Tambahnya, mangsa menyedari ditipu selepas anaknya menasihatkannya membuat laporan polis.

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 1:54 PM