Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Semua Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Sebahagian besar Ahli Parlimen tiba dengan menaiki bas sewa khas bermula jam 10.30 pagi sehingga 4 petang.

Difahamkan, Seri Paduka bertemu seorang demi seorang Ahli Parlimen dan ia berlangsung dalam tempoh masa yang singkat.

Setiausaha Agong Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, selepas memperkenalkan diri, beliau terus menyembah maklum sokongan kepada Seri Paduka.

Katanya, semua 114 Ahli Parlimen memberikan pengesahan mereka menyokong Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

"Sekejap saja, Alhamdulillah semuanya selesai. Seorang sekitar satu hingga dua minit. Ia juga pengalaman kepada saya. Kita tunggu nanti," katanya.

Menurutnya, tidak ada perbincangan mengenai pembentukan Kabinet di Istana Negara hari ini, hanya pengesahan sokongan semata-mata.

Katanya, ada dalam kalangan Ahli Parlimen yang menghadap Seri Paduka secara maya.

ISMAIL Sabri melambai kepada wakil media selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad
ISMAIL Sabri melambai kepada wakil media selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau bersyukur selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Alhamdulillah, selesai giliran saya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong. Sebagai Ahli Parlimen, tugas dan tanggungjawab kita mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang undang setiap masa," katanya di Twitter.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang baru selesai menjalani kuarantin, menyembah maklum pengesahannya menerusi panggilan telefon.

Katanya, beliau dinasihatkan pegawai Istana Negara untuk tidak menghadap dan sokongan hanya dizahirkan menerusi panggilan telefon bersama Seri Paduka.

"Selesai tadi, saya persembahkan pengesahan menerusi panggilan telefon. Alhamdulillah, selesai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 4:35 PM