Dr Abdul Halim Sidek
Dr Abdul Halim Sidek
Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bebanan dan tanggungan berat menunggu untuk digalas Perdana Menteri kesembilan yang bakal dipilih dalam waktu terdekat.

Penganalisis politik dan perundangan, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, perlu diakui dan berpijak di bumi nyata bahawa keadaan negara adalah tidak stabil termasuk politik pentadbiran, ekonomi dan krisis kesihatan disebabkan pandemik Covid-19.

Abdul Halim berkata, sekiranya yang terpilih sebagai Perdana Menteri adalah Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka beliau berpeluang membetulkan beberapa kelemahan pentadbiran lalu.

"Kita buat 'lockdown' atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ditambah dengan pelaksanaan Ordinan Darurat bukan menyebabkan kegelisahan sebab masih ramai dijangkiti Covid-19, tetapi masyarakat turut berasa tertekan akibat ekonomi.

"Bagi kakitangan awam bolehlah bekerja dari rumah (BDR) dan gaji jalan. Namun apa nasib yang kerja sendiri atau kerja swasta tetapi syarikat ditutup hingga menyebabkan gaji tidak dibayar atau diberhentikan kerja?

"Bagi golongan ini mereka amat tertekan, tambahan pula siapa yang nak dipersalahkan atau dituding jari. Sudah tentunya mereka mengharapkan bantuan kerajaan," katanya.

Apa yang banyak diperkatakan rakyat katanya, adalah selepas duduk rumah dan tidak boleh keluar bekerja dalam masa sama menampung banyak hutang tetapi wabak Covid-19 semakin teruk sehingga kes tertinggi 22,242 jangkitan baharu dicatatkan semalam.

Katanya, Ismail Sabri pasti sedar dengan beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki segera sebab beliau juga sebahagian daripada kabinet pentadbiran lalu.

"Kena ada koordinasi antara menteri. Tidak boleh berlaku lagi pintu depan tutup pintu belakang buka...banyak kilang tak patut buka tetapi beroperasi," katanya.

Selain itu katanya, isu 'orang kayangan' atau golongan VIP yang seolah-olah mendapat keistimewaan walaupun melanggar undang-undang juga perlu diberikan keutamaan.

"Isu 'orang kayangan' juga perlu ditangani sebaiknya sebab rakyat melihat. Kalau rakyat jelata tak boleh buat, menteri pun janganlah buat.

"Undang-undang hendaklah dipakai sama rata sebab barulah nampak semua orang bersama menghayati untuk memenangi peperangan Covid-19.

"Jika Covid-19 dapat diturunkan maka rakyat boleh keluar dan perniagaan berjalan, sekali gus kitaran ekonomi negara akan kembali rancak seterusnya pelabur asing pun sudi datang," katanya.

Apa pun katanya, apabila kerajaan baharu dibentuk walaupun dengan majoriti 114 kerusi sahaja, diharapkan semua Ahli Parlimen memberikan komitmen untuk memperbaiki keadaan negara ini secara bersama.

Menurutnya, memulihkan ekonomi dan kesihatan rakyat adalah fokus perlu diutamakan semua Ahli Parlimen.

"Bukannya sibuk nak bertelagah cari kesilapan menuding jari sahaja. Bagilah alternatif jika salah, nak buat macam mana. Barulah selari prinsip semak dan imbang.

"Ada cadangan dan alternatif. Itu barulah kata sama-sama membina negara. Kritikan mestilah konstruktif iaitu membina bukannya destruktif atau bersifat merosak.

"Ahli Dewan Rakyat dalam Parlimen dan lambang di Dewan Rakyat adalah lambang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu kerajaan Malaysia. Mereka adalah Ahli Parlimen Malaysia, jadi semua ada tanggungjawab," katanya.

Angka 114 disebut-sebut sebagai jumlah sokongan yang diterima Ismail Sabri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Jumlah sokongan itu terdiri daripada UMNO sebanyak 37 Ahli Parlimen, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (31), Pas (18), Gabungan Parti Sarawak (18), Bebas (empat), MCA (dua) dan masing-masing satu daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star).

Semua Ahli Parlimen berkenaan sudah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini untuk pengesahan surat akuan bersumpah (SD) yang diserahkan semalam.

Jumlah majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan adalah 111 kerusi daripada 220 ahli Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 4:02 PM