KEADAAN banjir di Yan, Kedah. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN banjir di Yan, Kedah. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Tiga mangsa dilaporkan hilang, manakala seorang lagi ditemui selamat dan seorang lagi meninggal dunia selepas dihanyut air deras selepas kejadian kepala air dan tanah runtuh di Pusat Rekreasi Titi Hayun, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, setakat ini, hanya seorang mangsa ditemui selamat dan dibawa turun dengan bantuan pasukan penyelamat.

"Seorang lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Operasi pencarian mangsa akan disambung pagi ini dengan bantuan pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.17 petang semalam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan tiba di lokasi jam 4.28 petang.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan mangsa di lokasi adalah seramai 22 orang, bagaimanapun 16 orang daripadanya selamat.

"Setakat ini, seorang mangsa ditemukan meninggal dunia, seorang cedera dan tiga lagi masih hilang.

"Ketika pasukan keluaran tiba di lokasi, kenderaan bomba tidak boleh memasuki kawasan itu disebabkan arus kuat.

"Komander operasi melaporkan terdapat beberapa yang berada berhampiran alur air terjun dipercayai tenggelam," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, paras air ketika pasukan operasi tiba, dianggarkan lebih daripada satu meter.

Katanya, komander operasi bersama anggota operasi mencari dan menyelamat selepas air mulai surut.

"Pada 11.15 malam, komander operasi melaporkan penemuan dua mangsa, dianggarkan 400 meter dari Titi Hayun.

"Seorang daripada mangsa dipercayai meninggal dunia dan disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala seorang mangsa lagi selamat tetapi mengalami kecederaan," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa yang cedera dibawa menggunakan pengusung ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) sebelum menghantar mangsa ke hospital bagi rawatan selanjutnya.

Berita berkaitan

Tiga maut, tiga lagi masih hilang di Yan

Banjir Yan: Dua sah maut, satu masih hilang

Pekerja Jerai Hill Resort ditemui meninggal dunia

Nampak mayat lelaki tersangkut di pokok pisang depan rumah

Kepala air di Gunung Jerai: Tiga selamat, seorang lagi hilang

Lima kampung terjejas akibat kepala air Gunung Jerai

Tiada pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai

Tiga kategori PPS, asingkan mangsa banjir

Segerakan bantuan kepada mangsa banjir di Yan - Muhyiddin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 8:18 AM