GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tukar rumah sewa jadi pusat hiburan. Demikian tindakan lapan individu termasuk empat wanita warga asing yang ditahan ketika berhibur sambil berpesta dadah di sebuah kediaman di tingkat 10 kondominium di Jalan Lestari di sini, semalam.

Serbuan kira-kira jam 6 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah susulan maklumat awam berhubung kegiatan tidak bermoral berkenaan.

Ketika serbuan, lapan individu itu didapati sedang berhibur dengan alunan muzik kuat serta meminum jus campuran dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, siasatan mendapati kediaman berkenaan disewa oleh salah seorang suspek lelaki sejak setahun lalu.

"Semua yang ditahan berusia 25 hingga 40 tahun dan pemeriksaan di premis itu turut menemukan pelbagai jenis dadah termasuk pil eramin 5, pil ekstasi, jus campuran dadah serta syabu.

"Hasil ujian air kencing turut mendapati tujuh daripada mereka positif dadah dan polis turut merampas peralatan sistem audio dan lampu disko," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Rahimi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka menjadikan kediaman sewa itu sebagai lokasi berhibur ekoran pusat hiburan tidak beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya); Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 1:45 PM