GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Indonesia mencetuskan kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah semalam dipercayai ada kaitan dengan penganjuran majlis perkahwinan anak lelaki terbabit pada 6 Ogos lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kes indeks Kluster Sawit Baiduri yang direkodkan di daerah Lahad Datu itu disahkan positif Covid-19 pada 11 Ogos lalu.

Katanya, lelaki berusia 47 tahun itu dilaporkan bergejala sejak 10 Ogos lalu sebelum datang ke Klinik Kesihatan Tungku pada keesokannya untuk menjalani saringan.

"Turut didapati positif ialah anak kepada kes indeks. Pengesanan secara aktif dan saringan bersasar terhadap 178 orang terdiri daripada ahli keluarga dan kontak rapat kemudiannya mengesan 77 kes positif termasuk 43 kes baharu, manakala 101 individu didapati negatif saringan pertama.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan namun siasatan awal mendapati terdapat majlis perkahwinan pada 6 Ogos 2021 yang disyaki menjadi punca penyebaran wabak.

"Kes indeks adalah bapa kepada pengantin dalam majlis perkahwinan itu. Semua kes positif Covid-19 dalam kluster ini sudah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Masidi berkata, secara keseluruhan saringan kluster menyumbang sebanyak 161 kes kepada jumlah keseluruhan kes baharu di Sabah semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 8:34 AM