YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO arkib NSTP
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pemilihan Perdana Menteri yang baru tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tetapi hanya boleh ditentukan dengan hemat dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah.

Penganalisa perundangan dan politik Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, mana-mana pemimpin parti atau pihak juga tidak boleh sekadar memetik nama tertentu sebagai pengganti tetapi perlu mengemukakan calon yang diyakini mendapat sokongan majoriti untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka bagi membuat pertimbangan.

"Menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti.

"Seri Paduka akan menentukan siapa calon yang layak berdasarkan nama dipersembahkan mengikut hemat, kebijaksanaan dan pertimbangannya.

"Bagaimanapun, siapa pun yang dilantik menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri perlu segera menetapkan tarikh bagi mengadakan persidangan khas selepas mengangkat sumpah dengan satu agenda iaitu menentukan keabsahan kerana itu saluran betul bagi melihat sejauh mana beliau mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, terdapat desas desus mendakwa Muhyiddin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok untuk mempersembahkan surat peletakan jawatan.

Difahamkan, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN), hari ini.

Mengulas mengenai nasib pemimpin Umno yang akan terus menyokong Muhyiddin seandainya beliau meletak jawatan, Abd Halim berkata, mereka dikira ingkar arahan serta keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti dan boleh dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib.

Katanya, pemimpin terbabit kemungkinan akan dipecat atau digantung keahliannya tetapi ia bergantung kepada keputusan jawatankuasa tatatertib.

"Itu urusan dalaman parti Umno tetapi dalam keadaan getir, kemungkinan tindakan tatatertib diambil tetapi tidak sampai ke tahap pemecatan.

"Mungkin amaran atau permohonan maaf bertulis saja," katanya.

Sementara itu, Profesor di Jabatan Pengajian, Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Zaid Ahmad tidak dapat meramal siapa yang akan menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri baru sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan kerana yakin semua pihak kini mempunyai gerakan dalam mengukuhkan kedudukan masing-masing.

Menurut Zaid, walaupun ada beberapa nama disebut sebagai pengganti, semua pihak perlu akui Seri Paduka lebih arif dalam menentukan siapa yang layak menyandang jawatan Perdana Menteri.

"Terserah kepada kebijaksanaan Seri Paduka untuk memilih siapa yang akan menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Cuma, sesiapa saja dilantik Seri Paduka perlu menguji keabsahannya di Parlimen dalam sidang pertamanya kerana itu yang mustahak selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

"Di situ, kita akan lihat berapa ramai ahli Dewan Rakyat beri sokongan dan dengan cara itu, keadaan jadi lebih stabil dan beliau boleh fokus kepada tugas mentadbir negara terutama dalam menangani cabaran pandemik Covid-19," katanya.

Berhubung hala tuju pemimpin Umno yang mahu kekal menyokong Muhyiddin, Zaid berkata, mereka tiada pilihan kecuali kembali ke pangkuan parti atau berdepan kemungkinan disisihkan.

"Pendirian ahli parti hendaklah selari dengan parti dan pimpinan tertinggi.

"Jadi, pemimpin yang mahu terus bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin tentunya tahu apa nasib mereka seandainya memilih haluan bercanggah dengan parti.

"Dua pilihan mereka adalah berpatah balik kepada parti atau disisihkan.

"Lazimnya ramai memilih kembali kepada parti kerana bukan mudah membawa haluan sendiri melainkan mereka ada pengaruh besar yang boleh menarik pengikut dan mencipta gelombang politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 3:26 PM