Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
BERNAMA

Seri Iskandar: Pelajar khususnya berusia 12 hingga 17 tahun perlu divaksin sebelum sesi persekolahan yang dijadualkan dibuka pada 1 September ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, saranan itu sejajar dengan peningkatan jumlah kes dan penularan Covid-19 ketika ini, yang tidak mengenal mangsa termasuk kanak-kanak dan pelajar.

Justeru, beliau berharap pihak berwajib dapat melaksanakan proses vaksinasi berkenaan dengan secepat mungkin.

"Mereka tidak terkecuali daripada Covid-19. Harap selepas selesai golongan dewasa mendapat vaksin, giliran kanak-kanak pula khasnya berumur 12 hingga 17 tahun.

"Saya harap perkara ini akan diputuskan dan dilaksanakan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) secara berperingkat, mengikut nasihat pakar.

"Harus kita ingat, kanak-kanak dalam kumpulan ini masih bersekolah. Jadi diharap mereka dapat diberi vaksin sebelum atau ketika sekolah dibuka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan," katanya selepas melawat Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun mulai 15 September ini.

Menyentuh perkara sama, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, vaksinasi itu akan dimulakan mengikut keutamaan iaitu remaja yang mempunyai masalah kronik diikuti tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan usia.

Pada 17 Julai lalu, Kementerian Pendidikan membuat ketetapan bahawa, sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai 1 September ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 4:52 PM