ADY Iskandar (tiga dari kanan) dan jemaah solat jenazah memasang penutup keranda selepas solat jenazah di Masjid Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
ADY Iskandar (tiga dari kanan) dan jemaah solat jenazah memasang penutup keranda selepas solat jenazah di Masjid Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Bapa Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, meninggal dunia kerana sakit tua, hari ini.

Samsudin Md Ali, 72, meninggal dunia pada jam 9 pagi ini selepas mengadu sakit dada selepas dimandikan pembantunya di kediaman Mas Ermieyati di Ayer Keroh.

Pemergian arwah dikongsikan Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah di laman Facebook rasminya hari ini.

"Assalamualaikum. Innalillahiwainnailahirajiun.Buat sesiapa yang mengenali ayahanda saya, Haji Samsudin Md Ali. Abah baru dijemput Ilahi.

"Mohon sedekahkan al-Fatihah buat arwah abah," katanya.

Sementara itu, adik Allahyarham Nina Md Ali, 62, berkata, arwah abangnya tidak sebarang penyakit serius.

"Tetapi arwah sudah lama terlantar di atas katil dan setiap pergerakannya dilakukan dengan bantuan seorang pembantu. Pagi ini arwah mengadu sakit dada selepas mandi.

"Arwah dibaringkan di atas katil dan menghembuskan nafas terakhir dengan mudah dan tenang," katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Ramuan Cina Besar, di sini, hari ini.

Jenazah dimandi dan dikafankan di masjid berkenaan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Lebar jam 3.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 4:37 PM