Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen nanti.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan dibentang sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga.

Katanya, sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

"Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

"Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara.," katanya dalam ucapan khas hari ini.

MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama

Muhyiddin berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.

Untuk itu katanya, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan itu.

"Saya berharap dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 7:15 PM