FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kesihatan mengalu-alukan lebih banyak pembabitan pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi membantu negara mencapai perlindungan kepada semua rakyat Malaysia dengan memvaksin seramai penduduk yang layak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran pengamal perubatan swasta sebagai Pusat Pemberian Vaksin Pengamal Perubatan Swasta (PPVGP) juga berlangsung sepanjang pelaksanaan PICK.

Beliau berkata, ketika ini terdapat 1,605 PPVGP yang aktif di bawah PICK dengan jumlah kumulatif 762,419 dos vaksin Covid-19 sudah diberikan.

"Saya berkesempatan pada pagi tadi untuk melawat dua PPVGP di Cyberjaya, Sepang. Pembabitan pengamal perubatan swasta dalam PICK diselaraskan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).

"KKM amat menghargai bantuan pengamal perubatan swasta dalam Fasa 2 dan 3 PICK di seluruh negara," katanya dalam hantaran melalui akaun Facebooknya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua PPVGP yang dilawatinya masing-masing mampu menyuntik antara 90 hingga 150 dos vaksin sehari.

Menurutnya, skop perkhidmatan diberikan melalui PPVGP termasuk pra-penilaian penerima vaksin, kaunseling dan pengambilan persetujuan penerimaan vaksin, mengendalikan vaksinasi dan pemantauan selepas vaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 4:27 PM