Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal yang bertembung di Jalan Bukit Lan,Sibu, malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal yang bertembung di Jalan Bukit Lan,Sibu, malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Sibu: Dua maut manakala seorang lagi kritikal dalam kemalangan membabitkan dua motosikal yang bertembung di Jalan Bukit Lan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, penunggang motosikal Mohd Hafiz Yunuz Abdullah, 21, disahkan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal dipercayai warga Indonesia turut meninggal dunia dalam insiden itu belum disahkan identitinya.

Manakala, pembonceng motosikal juga warga Indonesia yang identitinya juga belum dikenal pasti dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kedua-dua penunggang yang maut dipercayai tidak menggunakan topi keledar.

"Motosikal yang ditunggang warganegara Indonesia juga hilang selepas kejadian.

"Polis menerima panggilan daripada Hospital Sibu memaklumkan terdapat dua mangsa maut dan seorang dalam keadaan kritikal berada di hospital berkenaan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian didapati hanya terdapat sebuah motosikal di tempat kejadian iaitu motosikal Honda Wave milik Mohd Hafiz.

"Sebuah lagi motosikal yang ditunggang warganegara Indonesia sudah tidak ada di tempat kejadian," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 2:17 PM