Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: "Setakat ini tiada usahawan Majlis Amanah Raya Rakyat (Mara) yang menjual perniagaan atau menutup operasi mereka," kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latif Ahmad.

Beliau berkata, pihaknya memahami keadaan sukar dihadapi ramai usahawan sejak negara dilanda krisis pandemik Covid-19 sejak tahun lalu sehingga sekarang.

Justeru, katanya, seramai 20,000 usahawan sudah menerima manfaat inisiatif di bawah pakej pemulihan ekonomi dilaksanakan Mara.

"Sejak tercetusnya pandemik, kementerian melalui Mara melaksanakan pelbagai usaha untuk menyokong usahawan dengan pemberian moratorium pembiayaan, pengecualian dan diskaun sewaan premis.

"Selain itu, Mara turut mewujudkan skim khas pembiayaan untuk usahawan terkesan dan menarik taraf premis perniagaan.

"Bahkan, latihan keusahawanan turut digerakkan secara agresif bagi membantu usahawan memasarkan produk secara dalam talian dan mengembangkan perniagaan dalam bidang lain yang kurang terkesan akibat pandemik," katanya.

ABD Latiff (kanan) mendengar penerangan dari Pengarah Urusan My Delicacies, Suhaily Hamzah ketika melawat sebahagian premis perniagaan dibawah kendalian MARA di Ibu Pejabat Mara selepas Majlis MARA bantu Usahawan Inisiatif Tambahan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). FOTO Mohd Yusni Ariffin
ABD Latiff (kanan) mendengar penerangan dari Pengarah Urusan My Delicacies, Suhaily Hamzah ketika melawat sebahagian premis perniagaan dibawah kendalian MARA di Ibu Pejabat Mara selepas Majlis MARA bantu Usahawan Inisiatif Tambahan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). FOTO Mohd Yusni Ariffin

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan surat pengecualian bayaran sewaan premis dan cek pembiayaan kepada penyewa dan usahawan Mara, di sini, hari ini.

Abdul Latiff berkata, Mara turut memutuskan untuk memberi insentif tambahan berupa pengecualian bayaran sewa premis perniagaan bagi semua penyewa Mara bermula Julai hingga September 2021.

Beliau berkata ia diikuti pemberian diskaun 30 peratus ke atas premis perniagaan sehingga Disember 2021 membabitkan 5,913 penyewa dengan nilai keseluruhan sebanyak RM14.89 juta.

Menurutnya, melalui pemberian moratorium dan penjadualan bayaran balik kepada usahawan yang menerima kemudahan pembiayaan perniagaan pula, sebanyak 10,682 usahawan dibantu dengan implikasi kewangan RM43.05 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 1:54 PM