Siti Rohana Idris

Tumpat: Suasana di kedai makan masih suram dan kurang sambutan terhadap kebenaran makan di restoran (dine-in) di negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi individu lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, hari ini.

Situasi itu termasuk di kedai menyediakan juadah 'ikan bekok' (bengkak) di Kampung Geting di sini, yang sebelum ini menjadi tarikan ramai pengunjung yang datang bertali arus.

Pemiliknya, Noriah Ghazali, 55 atau mesra disapa Kak Pah berkata, sejak dibuka 8 pagi hari ini, hanya lima pelanggan datang makan di premisnya berbanding hampir 30 meja disediakan.

"Saya memang tertunggu-tunggu kerajaan membenarkan orang ramai untuk makan di kedai tapi tidak sangka sambutannya suram sebegini.

"Biasanya menjelang tengah hari, meja sudah penuh dengan pelanggan termasuk beberapa dewan disediakan dan orang ramai beratur memilih lauk pauk terutama ikan bekok untuk digoreng.

"Saya dapat rasakan masih ramai yang belum menerima suntikan dua dos vaksin dan jika sudah sekalipun, mereka takut keluar rumah kerana kes jangkitan masih tinggi kebelakangan ini," katanya ketika ditemui di premisnya, hari ini.

Keadaan suram di kedai makan milik Noriah yang menyediakan juadah ‘ikan bekok’ (bengkak) di Kampung Geting. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Keadaan suram di kedai makan milik Noriah yang menyediakan juadah ‘ikan bekok’ (bengkak) di Kampung Geting. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Noriah berkata, seperti premis lain, dia menyediakan buku log pelanggan, kod imbasan QR dan alat pengimbas suhu dan menugaskan anaknya memeriksa aplikasi MySejahtera pelanggan sebagai bukti sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Katanya, walau tidak ramai pelanggan yang datang, dia tetap menjalankan operasi seperti biasa dan mengakui pendapatan menurun kira-kira 70 peratus sepanjang pandemik Covid-19.

"Daripada lapan pekerja, saya terpaksa kurangkannya menjadi lima orang sahaja kerana operasi perniagaan perlahan, namun saya tetap bersyukur kerana masih lagi mampu bertahan.

"Untuk dua hari kebenaran makan di kedai ini, saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana rata-rata rakan yang turut mengusahakan kedai makan di daerah lain memaklumkan situasi sama iaitu kurang sambutan," katanya yang sudah lapan tahun mengusahakan perniagaan itu.

Seorang pelanggan, Rohana Mat Nawi, 50-an berkata, dia terkejut dengan keadaan sunyi dalam kedai terbabit yang sebelum ini menjadi tumpuan orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu sudah dijangka kerana masih ramai belum menerima dua dos vaksin bagi melayakkan mereka untuk makan di kedai manakala sebahagian lagi lebih selesa membungkus sahaja makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 5:41 PM