Gambar kenangan bekas ketua trafik Selangor, Asisten Komisioner Che Hussin Che Omar bersama keluarga baru-baru ini. FOTO IHSAN KELUARGA CHE HUSSIN
Gambar kenangan bekas ketua trafik Selangor, Asisten Komisioner Che Hussin Che Omar bersama keluarga baru-baru ini. FOTO IHSAN KELUARGA CHE HUSSIN
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Bekas Ketua Trafik Selangor, Asisten Komisioner Che Hussin Che Omar, 65, disahkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya di sini.

Anak kepada Allahyarham, Zetty Zaihasra Che Hussin, 37, ketika dihubungi berkata, ayahnya meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis, jantung dan kegagalan buah pinggang pada jam 8.01 pagi tadi.

"Jenazah ayah dijangka dikebumikan selepas Zohor tetapi lokasi pengebumian dimaklumkan kemudian," katanya ketika dihubungi.

Allahyarham Che Hussin pernah mencurah bakti selama beberapa tahun di Selangor termasuk sebagai Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Selangor dengan pangkat Superintendan antara tahun 2009 hingga 2011.

Beliau kemudian memegang jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Pengurusan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sebelum bersara pada 1 Jun 2019.

Allahyarham Che Hussin meninggalkan seorang isteri, Ropiah Yusoff, 63 tahun, lima anak, lima cucu dan seorang menantu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mewakili seluruh Polis Kontinjen Selangor menzahirkan takziah di atas pemergian Allahyarham.

"Saya mewakili warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor mengucapkan takziah atas pemergian Asisten Komisioner (B) Che Hussin Che Omar.

"Arwah banyak menabur bakti termasuk di negeri Selangor. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 3:37 PM