GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kuarantin di rumah adalah salah satu langkah terbaik bagi mengelak jangkitan Covid-19 dan bukan penyumbang kes kematian di luar hospital (BID).

Pensyarah Mikrobiologi di Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim berkata, ia kerana banyak faktor yang boleh menyebabkan berlakunya BID.

Beliau berkata, salah satunya adalah jika seseorang individu itu tidak sedar dirinya dijangkiti virus SARS-CoV-2.

"Individu terbabit menghabiskan kebanyakan masa di rumah tetapi ada kemungkinan dijangkiti virus tanpa disedari ketika keluar sementara atau berada dalam satu lif dengan mereka yang ada gejala kerana varian Delta misalnya boleh menjangkiti seseorang dalam 15 saat saja.

"Kedua, individu itu mungkin mengalami komorbiditi atau menghidap dua atau lebih penyakit serentak seperti kencing manis, sakit jantung, asma dan masalah buah pinggang kronik jadi mereka berisiko mendapat Covid-19 dan meninggal dunia di rumah tanpa perawatan awal atau pemantauan paras oksigen.

"Faktor ketiga ada kaitan dengan status individu terbabit yang mungkin belum divaksin kerana jika sudah menerima suntikan, mereka ada pertahanan diri dan seandainya dijangkiti sekalipun tidak teruk berbanding tidak divaksin langsung," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

DR Nazlina. FOTO Ihsan Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim
DR Nazlina. FOTO Ihsan Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim

Berhubung ancaman varian Delta, Dr Nazlina berkata, bukan semua pesakit Covid-19 kategori empat dan lima gagal melawan varian baharu itu.

Menurutnya, pesakit masih ada harapan sembuh tetapi bergantung kepada tahap kesihatan mereka.

"Ketahanan badan seseorang tidak hanya bergantung kepada kehadiran antibodi saja kerana ada faktor imun lain serta tahap kesihatan yang turut memberi kesan.

"Setiap pesakit ada harapan tetapi bergantung keadaan juga.

"Dalam keadaan sekarang ini, penting untuk kita semua kekal patuh dengan prosedur operasi standard (SOP), pakai pelitup muka dan pelindung muka (face shield), amalkan penjarakan fizikal, kerap cuci tangan dan sentiasa ingat semua individu berpotensi menyebarkan SARS-CoV-2 jadi penting berada di rumah jika tiada keperluan mendesak untuk keluar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 12:57 PM