Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Buat pelbagai kerja untuk mengumpul modal sehingga ribuan ringgit semata-mata mahu membeli kostum pelbagai jenis adiwira demi memenuhi minat dan hobi.

Itu yang dilakukan Mohamad Syukur Mohd Patthi, 27, apabila dia sanggup menghabiskan wang gaji bulanan serta melakukan pelbagai kerja sampingan selepas berkecimpung dengan hobi itu sejak 2018.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, minatnya terhadap koleksi kostum adiwira bermula sejak kecil, namun tidak berkesempatan memiliki apa yang diingininya memandangkan kurang berkemampuan.

"Masa kecil memang seronok dan terhibur sangat bila tengok semua koleksi adiwira terutamanya Ultraman dan Spiderman yang menjadi watak kegemaran utama kanak-kanak.

"Tetapi saya hanya mampu tengok sahaja kerana tidak mampu beli tambahan pula saya berasal dari keluarga yang berpendapatan rendah.

"Namun, bila sudah besar dan sudah bekerja, saya mula mengumpul modal hingga kini memiliki antara 20 hingga 30 koleksi pelbagai jenis kostum adiwira," katanya ketika ditemui di rumahnya di Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Katanya, kesemua koleksi kostum adiwira yang dimilikinya berharga di antara RM200 hingga RM8,000 yang dibeli melalui laman sosial dan pertolongan rakan-rakannya.

"Kerana hobi dan minat saya sanggup mengumpul modal untuk memiliki apa yang saya hajati dengan titik peluh saya sendiri. Keluarga juga terkejut dengan tindakan saya yang dianggap membazir, namun lama kelamaan mereka dapat menerimanya.

"Saya membeli kostum ini melalui pertolongan rakan dan laman sosial. Kebanyakan kostum saya beli banyak dari Indonesia yang pada saya kualitinya masih bagus dan mudah untuk dijaga.

"Paling penting harganya lebih murah berbanding negara lain khususnya Amerika Syarikat yang harganya berlipat kali ganda," katanya.

MOHAMAD Syukur sanggup menghabiskan wang gaji serta melakukan kerja sampingan untuk mengumpul modal sehingga ribuan ringgit semata-mata mahu membeli pelbagai kostum adiwira demi memenuhi minat dan hobi sejak 2018. FOTO Danial Saad
MOHAMAD Syukur sanggup menghabiskan wang gaji serta melakukan kerja sampingan untuk mengumpul modal sehingga ribuan ringgit semata-mata mahu membeli pelbagai kostum adiwira demi memenuhi minat dan hobi sejak 2018. FOTO Danial Saad

Menurutnya, antara koleksi kostum adiwira dimiliki adalah Bumblebee, Optimus Prime, Batman, Kamen Rider, Iron Man, Spiderman, Ultraman dan Power Rangers.

"Saya kini teringin untuk memiliki kostum 'Hulk' yang sangat jarang ditemui dipakai dalam kalangan 'Geng Superhero' di Malaysia.

"Namun, disebabkan keadaan semasa ditambah tidak mempunyai pekerjaan tetap menyebabkan saya terpaksa memberhentikan dulu niat berkenaan," katanya.

Mohamad Syukur yang sebelum itu bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi diberhentikan kerja Ogos tahun lalu dan kini mencari pendapatan dengan menjadi budak penghantar, selain membantu ibu bapanya berniaga.

"Sebelum ini, saya turut bekerja dengan membuat kejutan hari lahir dan pelbagai program keraian lain dengan memakai kostum adiwira, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya tidak dapat berbuat demikian.

"Pada awal PKP dahulu saya bersama 'Geng Superhero Penang' ada menjual air jagung tetapi perniagaan itu turut terpaksa dihentikan buat sementara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 3:49 PM