TANGKAP layar segerombolan individu bukan warganegara beratud tanpa mengikut SOP di PPVIN Pusat Konvesyen Midlands, Seksyen 7, Shah Alam. FOTO IHSAN PEMBACA
TANGKAP layar segerombolan individu bukan warganegara beratud tanpa mengikut SOP di PPVIN Pusat Konvesyen Midlands, Seksyen 7, Shah Alam. FOTO IHSAN PEMBACA
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Shah Alam: Pungut wang rasuah sebanyak RM80 bagi setiap individu warga asing yang mahu mendapatkan suntikan vaksin.

Itu antara tuduhan tular membabitkan penjaga pintu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Shah Alam Convention Centre (SACC) semalam hingga menyebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan.

Sumber berkata, isu itu muncul susulan video tular segerombolan individu bukan warganegara Malaysia beratur panjang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV SACC.

"Dikatakan juga penjaga pintu di PPV itu mendapat sejumlah wang rasuah sebanyak RM80 bagi setiap orang yang ingin mendapatkan vaksin.

"Susulan itu SPRM menghantar satu pasukan pegawai risik bagi memantau tohmahan terbabit.

"Bagaimanapun kejadian yang berlaku sebenarnya adalah di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Pusat Konvesyen Midlands, Seksyen 7 dan bukannya di PPV SACC seperti mana didakwa dalam video itu.

"Hasil risikan mendapati, PPV Midlands dijadikan PPVIN dimana PPVIN adalah sebahagian daripada inisiatif Program lmunisasi lndustri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS)." katanya.

Walau bagaimanapun menurutnya, terdapat masalah pada sistem di mana temujanji untuk individu juga terselit di PPV Midlands ini.

"Dikatakan punca kesesakan adalah daripada tindakan pekerja asing hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin.

"Tohmahan yang mengatakan bayaran rasuah RM 80 perlu dibayar kepada penjaga pintu untuk masuk masuk ke PPVIN itu adalah tidak benar," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati melaporkan terus apa-apa maklumat berhubung rasuah dengan menghubungi mana-mana pejabat SPRM berbanding menghebahkannya di media sosial.

Difahamkan PPVIN di Pusat Konvesyen Midlands, Seksyen 7, di sini, ditutup hari ini bagi menyelaraskan penugasan dan kehadiran penerima vaksin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, penutupan PPVIN terbabit diputuskan oleh pihak pengurusannya.

Ia bertujuan untuk selaraskan penugasan dan kehadiran pekerja-pekerja industri bagi menerima suntikan vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 10:39 AM