Warga asing tidak ikut penjarakan fizikal ketika mahu mendapatkan vaksin.
Warga asing tidak ikut penjarakan fizikal ketika mahu mendapatkan vaksin.
BERNAMA

Shah Alam: Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, dekat sini, akan ditutup sehari esok bagi menyelaraskan tugas dan kehadiran pekerja industri untuk menerima suntikan vaksin.

"Pihak pengurusan PPVIN berkenaan yang membuat keputusan (berhubung penutupan PPVIN)," kata Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ringkas ketika dihubungi pemberita menerusi WhatsApp hari ini.

Beliau turut mengesahkan rakaman video yang tular di media sosial, memaparkan ramai individu beratur panjang serta tidak mematuhi penjarakan fizikal di luar pagar PPVIN itu.

Media hari ini melaporkan pekerja asing dikatakan diarah meninggalkan lokasi PPVIN di Seksyen 7, dekat sini, petang Khamis selepas beratur panjang hingga ke luar kawasan pusat berkenaan untuk menerima vaksin.

Pihak penyelaras PPVIN dengan bantuan sepasukan anggota polis mengambil tindakan itu berikutan pekerja asing terbabit didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 11:01 PM