Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seorang penuntut kolej berusia 21 tahun kerugian RM10,960 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik untuk melabur selepas diperkenalkan rakannya mengenai perolehan berganda sekiranya membuat pelaburan.

Katanya, bermula pada 28 Mei hingga Isnin lalu mangsa sudah membuat tujuh transaksi dengan memasukkan wang berjumlah RM10,960 ke dalam akuan syarikat pelaburan itu.

"Mangsa kemudiannya menghubungi rakannya memaklumkan wang sudah dimasukan sebelum diberitahu akaun terbabit disekat pihak bank.

"Mangsa kemudian menghubungi semula rakannya itu namun panggilan itu disekat. Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, petang semalam," katanya.

Mohd Wazir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 5:53 PM