Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
Mohd Amin Jalil

Seremban: Sambutan Maal Hijrah 1443 Peringkat Negeri Sembilan tidak akan diadakan pada tahun ini, susulan wabak pandemik Covid-19 yang masih merekodkan kes harian tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan dan keselamatan rakyat negeri ini.

"Kerajaan negeri tidak akan mengadakan sebarang sambutan sempena Maal Hijrah tahun ini termasuk di masjid dan surau.

"Bagaimanapun, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan mengadakan program sambutan terbabit secara dalam talian," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, tadi.

Mengulas mengenai situasi jangkitan covid-19, beliau berkata, kadar jangkitan harian wabak itu perlu dikurangkan bagi membolehkan negeri ini beralih dari fasa satu ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, walaupun ketika ini terdapat penurunan dari segi peratusan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital, namun ia masih lagi di tahap yang tinggi kerana faktor bilangan pesakit.

"Faktor beralih dari fasa ke fasa PPN bergantung juga kepada kadar penggunaan katil di ICU, yang masih tinggi, namun sudah berlaku penurunan ketara di mana sebelum ini mencecah sehingga 150 peratus berbanding ketika ini di tahap 104 peratus.

"Kes harian covid-19 yang dicatatkan juga masih tinggi menyebabkan usaha kita untuk beralih ke fasa dua PPN mungkin mengambil sedikit masa walaupun kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat amat memberangsangkan.

"Saya harap penduduk bersabar kerana kita akan dapat kurangkan jumlah jangkitan dan penggunaan katil hasil program vaksinasi," katanya.

Aminuddin berkata, setakat ini seramai 605,619 atau 74.3 peratus penduduk negeri ini sudah menerima suntikan vaksin dos pertama manakala seramai 336,586 orang atau 46 peratus sudah melengkapkan kedua-dua dos.

"Kita berharap dapat mencapai imuniti berkelompok dalam kalangan rakyat secepat mungkin apabila lebih ramai lagi akan menerima vaksin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 5:36 PM