SYED Saddiq. FOTO arkib NSTP
SYED Saddiq. FOTO arkib NSTP
Hazri A Bakar


Johor Bahru: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok.

Beliau dijangka berdepan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Menurut sumber, dua pertuduhan dijangka dibacakan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Pertuduhan itu berkaitan dengan pertuduhan yang dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu.

"Pertuduhan di Johor Bahru ini adalah pertuduhan AMLATFPUAA yang berkaitan dengan pertuduhan predikat yang sudah dibacakan di Kuala Lumpur," kata sumber berkenaan ketika dihubungi, hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengedarkan jemputan liputan media yang memaklumkan seorang Ahli Parlimen akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, esok.

Syed Saddiq sebelum ini dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi dua pertuduhan dan beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Menurut laporan media pada 22 Julai lalu, pertuduhan pertama Syed Saddiq membabitkan ketika beliau menjawat jawatan Ketua Armada, dan melakukan pecah amanah jenayah dengan mengeluarkan dana RM1 juta tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua pula, Syed Saddiq, dituduh secara curang menyalahgunakan wang sumbangan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, antara 8 hingga 21 April 2018.

Kesalahan berkenaan dituduh mengikut Seksyen 405, Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Azura Alwi dilaporkan membenarkan Syed Saddiq diikat jamin RM330,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah serta melapor diri ke pejabat SPRM terdekat di Kuala Lumpur setiap bulan sehingga kes selesai.

Ahli Parlimen itu dilaporkan berjaya mengumpul dana RM715,573.77 hasil sumbangan orang ramai dalam tempoh 24 jam bagi membayar wang jaminan yang dikenakan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 4:38 PM