Petugas kesihatan menyediakan vaksin Covid-19. FOTO ROHANIS SHUKRI
Petugas kesihatan menyediakan vaksin Covid-19. FOTO ROHANIS SHUKRI
Raja Noraina Raja Rahim dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah masih merekodkan kadar pendaftaran bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) terendah, setakat kelmarin.

Berdasarkan infografik di laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Sabah merekodkan peratusan terendah pendaftaran vaksinasi iaitu 42.9 peratus atau 1,182,703 individu dewasa sudah berdaftar.

Ini diikuti Kelantan yang merekodkan 64.5 peratus atau 796,795 orang berdaftar manakala Terengganu sebanyak 79 peratus (638,240 orang) dan Pahang pula 79.5 peratus (934,493 orang).

Menteri Penyelaras Pick Khairy Jamaluddin berkata, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mempertimbangkan dua kriteria penghantaran vaksin ke negeri bagi mengimbangi kadar pemberian vaksin di negeri merekodkan kapasiti pelalian terendah.

Menurutnya, ia untuk membolehkan nilai ambang 40 peratus daripada penduduk dewasa di seluruh negara mendapat imunisasi lengkap menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

"Dua kriteria itu adalah kawalan wabak iaitu menghantar vaksin ke negeri yang mencatatkan kes positif Covid-19 tinggi dan negeri dengan kadar suntikan masih rendah.

"Ia bertujuan memastikan negeri terbabit dapat menyamai negeri lain dan mencapai nilai ambang 40 peratus daripada populasi dewasa lengkap menerima dua dos pada hari kemerdekaan," katanya dalam sidang media mingguan CITF secara maya, hari ini.

Setakat ini, JKJAV merekodkan jumlah pendaftaran bagi Pick mencapai 20,885,218 orang di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 13,816,971 menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan selebihnya mendapat imunisasi lengkap.

Empat negeri sudah mencapai 100 peratus pendaftaran vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa yang layak mendapat suntikan ialah Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Selain itu, lima negeri yang menghampiri kadar 100 peratus pendaftaran vaksinasi ialah Johor dengan kadar pendaftaran mencapai 96.8 peratus (2,626,283 orang), Melaka mencapai 95.5 peratus (647,045 orang); Pulau Pinang mencapai 93.9 peratus (1,284,343 orang); Labuan mencapai 93 peratus (63,713 orang) dan Perlis mencapai 91.3 peratus (165,434 orang).

Di Sarawak, kadar pendaftaran mencapai 88.1 peratus atau 1,798,744 individu dewasa manakala Perak mencapai 80.5 peratus (1,499,310 orang) dan Kedah mencapai 80.2 peratus (1,234,997 orang).

Dalam pada itu, enam negeri masih merekodkan jumlah vaksinasi dos pertama rendah iaitu Sabah, cuma 21.6 peratus atau 842,320 menerima dos pertama diikuti Kelantan (22.8 peratus), Kedah (26.5 peratus), Terengganu (26.9 peratus), Pahang (29.1 peratus) dan Johor (29.4 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 5:08 PM