ORANG ramai mengambil peluang mendapatkan vaksin ‘walk-in’ di Rumah Prihatin Hotel Grand Season. FOTO Rohanis Shukri
ORANG ramai mengambil peluang mendapatkan vaksin ‘walk-in’ di Rumah Prihatin Hotel Grand Season. FOTO Rohanis Shukri
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Vaksinasi secara jumpa terus tanpa janji temu atau 'walk-in' di Lembah Klang yang bermula hari ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada segenap lapisan masyarakat.

Tidak terkecuali Rumah Prihatin di Hotel Grand Season yang mengambil bahagian memberi perkhidmatan vaksinasi itu turut menjadi lokasi pilihan mereka yang belum mendapat temujanji.

Ahli Lembaga Penasihat Rumah Prihatin Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, hari ini pihaknya menerima sebanyak 2,400 dos vaksin untuk diberikan kepada warga kota Kuala Lumpur.

"Rumah Prihatin ini terbabit dan menyokong Pusat Pemberian Vaksin (PPV) walk-in yang tersenarai dan kami menerima mereka yang datang secara jumpa terus terutama golongan rentan dalam memastikan mereka juga mendapat vaksin.

"Kawasan Rumah Prihatin ini juga istimewa kerana berada dekat dengan Chow Kit dan sekitarnya, disebabkan itu kami menerima kehadiran mereka yang terdiri daripada warga emas, golongan kurang upaya (OKU), gelandangan, transgender, pekerja sosial, penjaja dan warga asing.

"Untuk minggu ini Rumah Prihatin akan memberi vaksin pada hari ini, 4 dan 6 Ogos membabitkan kira-kira 7,200 dos vaksin bagi ketiga-tiga hari terbabit," katanya kepada Harian Metro yang ditemui di sini, hari ini.

Zaizalnizam yang merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) juga berkata, konsep Rumah Prihatin ini bukan hanya dilaksanakan di Wilayah Kuala Lumpur, malah Wilayah Labuan dan berjaya mencapai lebih 80 peratus rakyat yang divaksin.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan pemberian vaksin secara jumpa terus tanpa janji temu diyakini dapat mencapai imuniti kelompok di Wilayah Persekutuan menjelang 31 Ogos ini.

Tinjauan Harian Metro ke lokasi mendapati orang ramai sudah mula beratur sejak 8 pagi dan sehingga tengahari tadi kira-kira 600 warga kota hadir untuk mendapatkan vaksin.

Pelajar, Esther Sigamani, 21, tidak melepaskan peluang datang ke Rumah Prihatin Hotel Grand Season mendapatkan dos vaksin pertamanya.

"Saya dimaklumkan oleh kawan di sini boleh dapat vaksin hanya dengan walk-in dan selepas habis kelas online (dalam talian) saya terus datang ke sini.

"Lagi pula semua ahli keluarga saya sudah mendapat suntikan vaksin. Saya tunggu lama dan belum terima tarikh temujanji, jadi saya datang ke sini," katanya yang menerima vaksin Pfizer.

ESTHER Sigarmani menerima vaksin di PPV Rumah Prihatin Hotel Grand Season. FOTO Rohanis Shukri
ESTHER Sigarmani menerima vaksin di PPV Rumah Prihatin Hotel Grand Season. FOTO Rohanis Shukri

Katanya, semua proses vaksinasi berjalan lancar dan cepat, malah dia akan mencadangkan kepada rakan yang lain untuk segera mendapatkan vaksin kerana kini lebih mudah (secara walk-in).

Sementara itu, bagi kakitangan swasta, Joanne Ng, 41 dia dan suami hadir bersama mendapatkan dos vaksin pertama.

Katanya, langkah kerajaan membuka peluang mendapatkan vaksin menerusi kaedah itu harus dipuji kerana memudahkan masyarakat.

"Saya tiba sejak 10 pagi dan petugas di sini begitu membantu dan tiada yang dilihat bersesak-sesak, malah semua dibuat secara teratur," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 3:45 PM