TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 98.3 peratus atau 16,556 kes daripada keseluruhan 16,840 kes baharu jangkitan Covid-19 yang direkodkan hari ini adalah dalam kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 284 kes (1.7 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

"Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnos Covid-19.

"Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, secara kumulatif kes Covid-19 di negara ini kepada 1,095,486 kes hari ini dan Selangor masih lagi merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 6,092 kes, manakala Kuala Lumpur merekodkan 2,114 kes Johor (1,104 kes).

"Selain itu, Sabah (1,066 kes), Negeri Sembilan (1,079 kes), Kedah (1,281 kes), Perak (810 kes), Pulau Pinang (689 kes), Kelantan (656 kes), Melaka (581 kes), Pahang (540 kes), Sarawak (450 kes), Terengganu (258 kes dan Putrajaya (100 kes).

"Dua negeri merekodkan kes terendah iaitu Labuan sebanyak 7 kes dan Perlis sebanyak 13 kes," katanya.

Menurutnya, jumlah kematian yang direkodkan hari ini pula ialah 134 kes membabitkan 35 kes di Selangor, 17 kes di Melaka, 15 kes di Johor dan Negeri Sembilan.

"Negeri yang turut merekodkan kematian ialah 12 kes di Kedah dan Perak, 10 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, enam (6) kes di Sabah, lima (5) kes di Terengganu, empat (4) kes di Pahang, dua (2) kes di Kelantan, dan satu (1) kes di Pulau Pinang.

"Sebanyak 1,055 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) daripada jumlah itu 532 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, 47 kluster baharu turut direkodkan hari ini membabitkan negeri Selangor, Pahang, Kelantan, Sarawak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Negeri Sembilan.

"Berdasarkan data terkini, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.15 dan Terengganu mencatatkan nilai RT yang tertinggi (nilai RT 1.36) diikuti oleh Kelantan (nilai RT 1.27), dan Sabah (nilai RT 1.22).

"Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Perlis," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 7:31 PM