Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Walaupun sedang dilanda kontroversi namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengambil kesempatan mengucapkan Ulang Tahun Keputeraan ke-62 Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Sembah ucapan Ahli Parlimen Kota Bharu itu di Facebook (FB) kepada Baginda setakat 4.40 petang hari ini mendapat 1,800 komen warganet selain 4,000 tanda suka dan 234 perkongsian.

"Daulat Tuanku. Merafak sembah menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-62, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah pada 30 Julai 2021.

"Patik mendoakan dilanjutkan usia, harmoni sejahtera Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Ampun Tuanku," katanya dalam FB sambil melampirkan potret Agong dan Permaisuri.

Pada 26 Julai lalu hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Parlimen, Takiyuddin mengumumkan kerajaan memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

"Saya mengesahkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru apabila ia tamat pada 1 Ogos 2021.

"Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit," katanya dipetik dalam laporan sebelum ini.

Namun, semalam, Al-Sultan Abdullah menerusi kenyataan Istana Negara menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Pembatalan Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan Agong terlebih dahulu itu menimbulkan suasana 'ribut' di Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 5:11 PM