Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Seramai 1,290 penduduk di Pulau Redang menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Pulau Redang, di sini, hari ini.

Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Faris Abdul Razak berkata, penerima vaksin Pfizer itu turut membabitkan seramai 517 pengusaha dan pekerja resort di pulau peranginan itu.

"Penduduk Pulau Redang adalah destinasi pelancongan ketiga di negeri ini selepas Pulau Kapas, Marang dan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu menerima suntikan vaksin.

"Pulau Redang kini melalui fasa suram kerana ketiadaan pengunjung sekali gus menjejaskan pendapatan penduduk dan berharap vaksinasi menjadi persediaan bagi kegiatan pelancongan kembali," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, program vaksinasi itu membabitkan pelbagai agensi termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan berlangsung selama dua hari sehingga esok.

PENDUDUK Pulau Redang menjalani suntikan vaksin Covid-19 di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK Pulau Redang menjalani suntikan vaksin Covid-19 di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang. FOTO Ghazali Kori

"Kami berharap program ini dapat menambah keyakinan kepada pelancong untuk mengunjungi Pulau Redang apabila dibenarkan kerajaan nanti.

"Apabila semua penduduk menerima suntikan vaksin itu, ia secara tidak langsung membantu mencegah penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 3:54 PM