GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Kuching: Sarawak kini dikelilingi oleh tsunami varian Delta Covid-19 yang tersebar dari Semenanjung Malaysia dan Kalimantan, Indonesia.

Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, jangkitan varian itu semakin membimbangkan dengan kebanyakannya dikesan di sini.

"Varian Delta mengambil alih sebagai strain Covid-19 yang dominan di Kuching selepas masuk ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia dan Kalimantan pada Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak berkata, setiap orang perlu lebih berwaspada dengan varian ini, yang menyebabkan peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19.

"Akibat varian Delta, beberapa sistem hospital hampir lumpuh dan menyebabkan banyak kematian di Malaysia, Indonesia bahkan seluruh dunia," katanya.

Sehubungan itu, Kui Hian berkata, Sarawak menerusi JPBN akan terus berwaspada dalam menangani penularan wabak terbabit melalui ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 serta menjejak kontak rapat selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang merekodkan banyak jangkitan.

"Virus Covid-19 akan terus bermutasi dengan varian-varian baharu dan kita khususnya di Sarawak perlu terus berubah untuk beradaptasi, hidup dengan virus buat sementara waktu sehingga persekitaran kita terkawal.

"Mari kita semua memainkan peranan kita, lakukan peranan kita dalam memerangi Covid-19," katanya.

Sementara itu, Kui Hian berkata, Sarawak berjaya mencapai 82.5 peratus pemberian dos pertama dan 60.1 peratus dos kedua vaksin Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 3:02 PM