SUASANA di Sidang Dewan Rakyat selepas ditangguhkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
SUASANA di Sidang Dewan Rakyat selepas ditangguhkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ordinan Darurat yang diisytiharkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu dibentang dan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat, selagi mana Seri Paduka belum memperkenan untuk membatalkan Ordinan berkenaan.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, perkara itu termaktub dalam Perkara 150, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan.

"Sekiranya Seri Paduka tidak perkenankan lagi ordinan itu untuk ditarik balik, maka apabila Parlimen bersidang, ia boleh dirungkaikan dan tindakan terbaik adalah dengan membahaskan ordinan ini yang saya fikir boleh menyelesaikan segala kekusutan ketika ini.

"Selain itu perbahasan ini juga boleh mendatangkan kemakmuran kepada demokrasi dan sekiranya perundangan itu diikut, ia akan lebih menunjukkan ketelusan kerajaan," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk 'Subplot Ordinan Darurat' di Bernama TV hari ini.

Menjelas lanjut, Shamrahayu berkata, Parlimen masih perlu merungkai dan membahaskan perihal Ordinan Darurat ini meskipun ia dijadual akan tamat pada 1 Ogos 2021.

Beliau berkata, sekiranya tidak dibahaskan, Perkara 150 Fasal 7 membolehkan Ordinan Darurat ini diteruskan selama enam bulan lagi selepas tarikh tamat pada 1 Ogos 2021.

Dalam pada itu, Shamrahayu berkata, teguran Yang di-Pertuan Agong hari ini menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara perlu diambil sebagai pengajaran oleh setiap pihak bahawa prinsip Raja Berpelembagaan kini memasuki dimensi baharu.

Menurutnya, dalam perkembangan terkini, Seri Paduka dilihat boleh menasihati, memberi amaran dan menyuarakan pandangan baginda kepada pihak kerajaan.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lalu bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan tidak dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 12:39 AM