Datuk Arjunaidi Mohamed.
Datuk Arjunaidi Mohamed.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis masih menjalankan siasatan berhubung isu 'balai polis disko' membabitkan seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggotanya dan empat wanita orang awam berhibur, pada 20 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dua siasatan berasingan dilakukan iaitu siasatan jenayah dan tatatertib.

"Setakat ini siasatan sedang berjalan, kita tunggu keseluruhan siasatan selesai sebelum tindakan lanjut diambil," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Dalam serbuan jam 6 petang, OCS berpangkat Sub-Inspektor, dua Koperal dan seorang Koperal Sokongan bersama empat wanita orang awam berusia antara 21 hingga 37 tahun ditahan ketika sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam bilik di tingkat dua balai berkenaan.

Serbuan dibuat Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman selepas menerima maklumat awam.

Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata, polis akan menyiasat dakwaan keluarga seorang lelaki berhubung tindakan polis melepaskan tembakan ke arah kenderaan di hadapan pos pengawal Taman Bayu Mas, Cheras Hartamas, Cheras di sini, 22 Julai lalu.

Katanya, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman terhadap suspek dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah.

Dalam kejadian jam 3.05 petang itu, suspek yang memandu sebuah kenderaan cuba ditahan sepasukan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata, suspek enggan memberi kerjasama dengan tidak memberhentikan kenderaan sebelum memecut kenderaannya untuk melarikan diri.

Katanya, akibat tindakan suspek, pasukan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek.

Berita berkaitan

Berhibur di balai polis, suspek positif dadah

'Balai polis disko' kena serbu

PDRM perlu kukuhkan integriti - MCCF

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:01 PM