BERNAMA

Raub: Lima lelaki termasuk dua pekebun durian Musang King mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Batu Talam di mukim Tras di sini, awal bulan ini.

Mereka ialah Wong Than Fook, 49, Chiah Kin Seng, 54 dan anaknya Lavin Chiah Zhe Yueng, 21, serta dua warga Indonesia iaitu Kanir, 32, dan Shah Ronny Rusly, 45.

Chiah dan anaknya serta dua tertuduh warga Indonesia didakwa memasuki kompartmen 175 hutan itu tanpa permit masuk pada 10.36 pagi, 3 Julai lalu manakala Wong didakwa melakukan perbuatan itu pada 10 pagi, 8 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 47(1)(c) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diterima pakai Kerajaan Pahang di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 47(4) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Afidatul Azwa Kamarulanuar menawarkan jaminan RM8,000 kepada Chiah dan Lavin serta RM5,000 untuk Wong manakala tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua warga Indonesia itu.

Bagaimanapun, peguam Samantha Chong Yin Xin memohon mahkamah membenarkan jaminan diberikan kerana kedua-dua tertuduh itu mempunyai pasport dan permit kerja yang sah selain kesalahan yang dipertuduhkan adalah kesalahan boleh dijamin.

Beliau juga memohon mahkamah memberikan jaminan munasabah memandangkan jumlah ditawarkan agak tinggi berbanding pendapatan bulanan anak guamnya antara RM1,400 dan RM4,200.

RAUB, 28 Julai --Empat daripada lima individu yang didakwa atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Batu Talam di mukim Tras di sini, awal bulan ini iaitu Chiah Kin Seng, 54, (kanan) bersama anaknya Chiah Lavin (dua, kanan) dan dua pekerja warga Indonesia Shah Ronny Rusly,45, (tiga, kanan) dan Kanir, 32, (dua, kiri), ditemani peguam ketika tiba di Mahkamah  Sesyen Raub hari ini. FOTO BERNAMA
RAUB, 28 Julai --Empat daripada lima individu yang didakwa atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Batu Talam di mukim Tras di sini, awal bulan ini iaitu Chiah Kin Seng, 54, (kanan) bersama anaknya Chiah Lavin (dua, kanan) dan dua pekerja warga Indonesia Shah Ronny Rusly,45, (tiga, kanan) dan Kanir, 32, (dua, kiri), ditemani peguam ketika tiba di Mahkamah Sesyen Raub hari ini. FOTO BERNAMA

Peguam itu berkata Lavin masih menuntut di sebuah kolej di ibu negara dan sedang menjalani latihan industri, selain mempunyai janji temu vaksinasi Covid-19 esok.

"Semua tertuduh difahamkan telah dilepaskan dengan jaminan polis pada hari kejadian dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis serta Jabatan Perhutanan. Mereka hadir ke mahkamah walaupun hanya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat petang semalam," katanya.

Turut mewakili tertuduh ialah peguam Chong Kar Yan.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin kepada semua tertuduh kecuali Lavin, dengan syarat tertuduh warga Indonesia perlu mengemukakan penjamin warga tempatan.

Jaminan bagi Lavin ditetapkan pada RM2,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 4:19 PM