Parlimen
Parlimen
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Jika semalam Sidang Khas Dewan Rakyat berlangsung dalam suasana tegang, persidangan hari ketiga agak santai dengan gelak tawa sebelum rehat.

Ia bermula selepas Datuk Seri Bung Moktar Radin mencelah dengan perkataan 'mana ada keadilan dalam dunia ini' ketika Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun bertindak adil membuat keputusan berhubung tindakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Bung Moktar yang mengambil giliran berbahas selepas itu, terkejut apabila dimaklumkan hanya diberi masa tujuh minit oleh Azhar.

Azhar: Tujuh minit.

Bung Moktar: Hah. Tujuh minit. Saya baru cakap, di sana dapat 60 minit.

Khalid Abd Samad (Amanah- Shah Alam): Mana ada keadilan dalam dunia ini..(disambut gelak tawa ahli dewan)

Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Hang Tuah Jaya): Sebab tu aku minta tambah waktu.

Khalid Abd Samad: Padan muka awak.

Bung Moktar: Bagi 10 minitlah Yang di-Pertua.

Azhar: Ok lah. 10 minit.

Bung Moktar: Sana 60 (minit). Kita datang dari jauh Yang di-Pertua.

Azhar: Silakan. 10 minit.

Bung Moktar kemudiannya meneruskan perbahasannya diikuti Tan Sri Noh Omar (Umno-Tanjung Karang) sebelum persidangan berhenti rehat jam 1 tengah hari tadi.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dijangka menjawab semua persoalan dibangkitkan jam 4.30 petang nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 1:27 PM